Kuala Lumpur, 1 Oktober -- Atas dasar tanggungjawab dan cinta kepada negara, Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) telah bekerjasama dengan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk menjayakan program Kayuhan 1000 Belia, sempena Hari Kesedaran Jenayah Peringkat Kebangsaan dan Hari Terbuka PDRM 2011.
Para peserta dilepaskan pada jam 8 pagi oleh Timbalan Pengarah (II) Jabatan Siasatan Jenyah Komersial PDRM, Dato' Tajudin Bin Md. Isa . Mereka berkayuh dari Padang Merbok menuju ke Dataran Merdeka untuk sesi pembacaan lafaz ‘Ikrar Belia 1Malaysia’ di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut hadir adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.
Kayuhan kemudiannya diteruskan melalui beberapa destinasi di sekitar Kuala Lumpur untuk melengkapkan kayuhan sejauh 10 kilometer melalui Lebuhraya Mahameru dan kembali ke Dataran Merdeka. Dalam ucapannya Muhyiddin berkata, polis memerlukan hubungan kukuh dengan masyarakat sebagai asas perkongsian pintar untuk membantu mengenal pasti jenayah dengan awal dan melaksanakan strategi terbaik untuk mengatasinya."Jelas sekali pencegahan jenayah bukan sahaja memerlukan kesedaran mengenai jenayah masyarakat, malah amat bergantung kepada kerjasama yang diterima pihak polis daripada masyarakat setempat," katanya lagi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar turut mengakui pengurangan jenayah yang direkodkan 2010 adalah hasil daripada kerjasama orang ramai yang tampil membantu pihak polis. Beliau menjangkakan, program seperti Kayuhan 1000 Belia bakal membawa kepada kerjasama yang lebih aktif dan intensif antara Polis dan masyarakat.
Dengan tema ‘1 Pasukan 1 Masyarakat Benteras Jenayah’, kerjasama antara PDRM dan belia adalah satu manifestasi keakraban dan penyatuan rakyat Malaysia, sekaligus melambangkan organisasi polis yang semakin mesra rakyat.
Program sebegini diharap dapat menjadi jambatan kepada orang ramai untuk memahami mandat yang digalas oleh organisasi polis, selain mendidik masyarakat untuk menjiwai peranan setiap individu dalam mencapai objektif tersebut. Ia juga dapat memupuk budaya berani tampil dalam membantu pihak Polis menjalankan tugas, demi kesejahteraan negara.
PENGHARGAAN BUAT KOMUNITI BERBASIKAL
Pemilihan komuniti berbasikal oleh PDRM sebagai penggerak ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara yang selamat, aman dan sejahtera amatlah dihargai. Selain berjaya mewujudkan hubungan dan saling mengenali sesama peserta, ia juga sebagai titik permulaan untuk melahirkan satu barisan belia yang bakal menjadi benteng mempertahankan negara daripada ancaman anasir-anasir luar.
Selain penyertaan daripada ahli ACT, kayuhan ini turut mendapat penyertaan daripada 23 kelab-kelab basikal dari dalam dan luar Lembah Kelang, para individu, warga PDRM serta pihak-pihak lain.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PDRM dan Majlis Belia Malaysia yang memberi ruang kepada penganjuran Kayuhan 1000 Belia serta sahabat-sahabat ACT yang menyertai, seterusnya memastikan kejayaan program.
Ayuh kita sokong misi PDRM serta berganding bahu untuk memerangi jenayah di negara kita! ACT Together As One!
--ACT@2011



ACT News