Salam,
Alhamdulillah, satu lagi berita berkenaan Kayuhan Cinta Negara Fasa 4 telah diterbitkan oleh BERNAMA, kami kongsikan di sini.
---Quote---
Kayuhan Basikal ACT Bawa Mesej Cintakan Negara
Oleh Nurul Halawati Azhari
BATU PAHAT, 8 Nov (Bernama) -- Berdisiplin, bersatu, dan bersemangat!
Mungkin tiga frasa yang dapat menggambarkan keistimewaan 206 pengayuh dan 102 panitia yang menyertai jelajah Kayuhan Cinta Negara Fasa 4 2011 (KCN) di Johor baru-baru ini.
Malah kehadiran kelab berbasikal Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) di daerah Pontian dan Batu Pahat itu disambut meriah dan mesra oleh masyarakat setempat.
Aura kegembiraan dan kemesraan sambutan itu turut dirasai oleh pihak media yang bersama-sama mengikuti siri jelajah berbasikal 3 hari 2 malam berkenaan.
Sepanjang kayuhan sejauh 75 km itu, ACT memberi persepsi yang berbeza terhadap aktiviti berbasikal. Bukan sahaja kepada pihak media, malah anggota masyarakat yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan siri jelajah itu.
Sesuai dengan namanya Kayuhan Cinta Negara, setiap program yang dirancang di sepanjang jelajah mempunyai objektif yang bertujuan melahirkan perpaduan, rasa sayang dan menghargai keistimewaan dan keunikan setiap lokasi yang disinggahi.
Menurut Penasihat Kelab ACT, Ahmad Ruzizan Maphilindo Mohd Isa, acara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan kerajaan dan bukan kerajaan itu dianjur bertujuan menyuntik semangat perpaduan dan cintakan negara di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat melalui sukan berbasikal.
"Program KCN Fasa 4 kali ini adalah penutup kepada empat siri jelajah Kayuhan Cinta Negara yang dirancang ACT sebagai program kayuhan terbesar kelab.
"Seperti siri jelajah KCN yang lain, kali ini di Zon Selatan turut melibatkan penyertaan daripada ahli dari seluruh Malaysia dan Singapura," jelas Ruzizan.
Fasa pertama berlangsung di Zon Timur, yang bermula di Felda Jengka 25 pada Januari lepas, dan berakhir di Kuala Lipis dengan jarak kayuhan sejauh 300km.
Fasa Kedua di Zon Utara pada April sejauh 107.5 km. Kayuhan bermula di Pendang dan berakhir di Jeniang, Kedah.
Fasa ketiga pula diadakan di Zon Tengah pada Julai sejauh 112 km dari Ipoh ke Parit dan berakhir di Pantai Remis.
BUKTI CINTA NEGARA
Menurut Ruzizan, KCN berbeza dengan ekspedisi kayuhan berbasikal yang lain berikutan setiap ahli diberi kesedaran untuk memainkan peranan sebagai modal insan yang boleh membantu meningkatkan jati diri dan kecintaan mereka kepada negara.
"Menerusi program kayuhan yang dijalankan, matlamat ACT untuk melahirkan atlit berbasikal yang berdisiplin dan bersatu telahpun dicapai. Tidak ada istilah berlumba-lumba mahupun menunjukkan siapa yang lebih hebat. Peserta sememangnya akur dengan disiplin kelab semasa dalam kelompok," demikian menurut Ruzizan.
ACT kini menerusi KCN melangkah lagi ke hadapan untuk membawa misi positif dalam masyarakat Malaysia.
Tidak sekadar bersukan, mereka turut menumpukan perhatian mencari kebaikan di setiap daerah yang dilalui dengan cita-cita untuk mendidik masyarakat dengan konsep bersatu, berdisiplin, cintakan alam sekitar serta mencintai kedamaian.
ACT BERMASYARAKAT
Benar bagai yang dikata, suasana meriah mula dirasai pada hari pertama di Kampung Seri Bunian, Pontian, apabila panitia memasak secara rewang bersama masyarakat kampung.
Di pihak tuan rumah, mereka bangga dapat menunjukkan semangat gotong-royong dan keistimewaan tempat mereka.
Manakala di pihak penganjur, ada yang nampaknya teruja kerana pertama kali melihat penyediaan nasi beriani gam dan lauk-pauk dimasak secara rewang.
Malamnya selepas solat berjemaah dan sedikit tazkirah oleh Imam Masjid, peserta dan masyarakat kampung beramai-ramai pula bergerak ke lokasi persembahan kebudayaan.
Matlamat bermasyarakat dan mengenali negara disalurkan secara tidak langsung menerusi persembahan kebudayaan marhaban, gambus, silat, kompang berjidur, angklung dan kuda kepang.
Keesokannya, selepas perasmian dan kayuhan keliling kampung bersama ADUN Kukup, Datuk Md Othman Yusof, perjalanan diteruskan ke Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi.
Sekali lagi mereka disambut wajah-wajah ceria penduduk setempat dan Pegawai Daerah, Muji Salimon. Walaupun hanya sebagai lokasi singgahan untuk solat dan makan tengah hari, rata-rata penduduk yang hadir melahirkan rasa gembira kerana pertama kali menyaksikan tetamu 'berbasikal' ke kampung mereka. Malah ada yang terkilan kerana ACT tidak bermalam di sana.
NASI AMBENG
Mereka kemudian menuju ke Kampung Parit Betak, Batu Pahat.
Kali ini, konvoi bertambah dengan penyertaan oleh 40 ahli Kelab Basikal Klasik Batu Pahat, yang menyertai mereka kira-kira 3 kilometer sebelum tiba di Masjid Parit Betak.
Nampaknya, jelajah ACT dengan objektif bermasyarakat dan melahirkan rasa cintakan negara melalui perpaduan turut disokong oleh kelab ini.
Di lokasi bermalam ini, warga ACT dan media tentu tidak dapat melupakan keunikan makan nasi ambeng dalam dulang.
Malah lebih berbesar hati apabila malam yang sama, satu lagi majlis kebudayaan dianjurkan pula Belia 4B kampung berkenaan.
Selain bersama keluarga angkat mengenali budaya dan gaya hidup penduduk setempat, peserta turut berhenti di beberapa lokasi sepanjang kayuhan termasuklah tempat penternakan puyuh dan lawatan ke projek IKS Perusahaan Cendawan.
Satu usaha mempromosi dan menjalinkan kerjasama pemasaran aktiviti perekonomian kampung kepada peserta kayuhan.
TANAM 500 ANAK BAKAU
Keesokannya, kayuhan mereka bermula di Sekolah kebangsaan Parit Betak. Kali ini disertai oleh 50 pengayuh dari kelab-kelab berbasikal Johor dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Kayuhan diteruskan sejauh 21 km menuju ke Pantai Punggur, Rengit untuk bersama-sama dalam Program Kesedaran Hakisan Pantai.
Penanaman 500 anak pokok bakau itu menjadi pelengkap kepada penutup jelajah KCN ini. Selesai acara menanam pokok bakau, para peserta didedahkan dengan taklimat hakisan pantai oleh wakil UTHM, Dr Tan Lai Wai sebelum majlis perasmian penutupan.
Hadir sama pada majlis Perasmian Penutup KCN4 itu ialah ADUN Rengit, Ayub Jamil dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTHM, Profesor Ir. Abdul Aziz Datuk Abdul Samad.
MENJALIN HUBUNGAN PERSAHABATAN
Dalam kesempatan masa yang singkat, para peserta dan masyarakat menggunakan setiap masa terluang untuk menjalinkan hubungan persahabatan, berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama mereka.
Sekalung tahniah kepada kelab ACT di atas usaha penubuhan kelab itu dengan biaya sendiri dan ahlinya sanggup mengambil cuti semata-mata mahu menjayakan program yang besar faedahnya untuk masyarakat dan negara.
Oktober lepas ACT bersama-sama pihak PDRM menganjurkan Program Kayuhan 1000 Belia bersempena Hari Terbuka PDRM. Selain aktif di peringkat negeri menganjurkan siri-siri Kayuhan Cinta Desa (KCD) dengan matlamat dan tujuan yang sama.
Bagi mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan ACT, kelab ini amat menyambut baik sebarang bentuk kerjasama yang menjurus kepada matlamat melahirkan rasa cinta kepada negara. ACT boleh dihubungi dengan melayari laman web www.act.org.my.
-- BERNAMA
---Unquote---
- Anda juga boleh membaca artikel ini dalam versi Bahasa Inggeris di sini.
- Untuk membaca artikel ini di website Bernama, sila klik di sini.
- Untuk melihat gambar-gambar yang tersiar di Bernama, sila klik di link di bawah:
1. Pelepasan di Sek. Men Parit Betak
4. Menanam Bakau bersama pelajar UTHM



ACT News