BATU PAHAT, 16 OKT – Penanaman 500 anak pokok bakau di Pantai Punggur, Rengit menjadi pelengkap kepada jelajah Kayuhan Cinta Negara Fasa 4 (KCN) anjuran kelab berbasikal Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) di sini hari ini.

Dalam kayuhan dua hari sejauh 75 km itu, seramai 308 ahli ACT yang terdiri daripada 206 pengayuh dan 102 panitia menjelajah ke Negeri Johor Darul Takzim sebagai destinasi penutup jelajah kelab tersebut bagi tahun 2011. Turut berkayuh ialah 50 peserta dari kelab-kelab berbasikal Johor dan juga pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kayuhan hari pertama sejauh 46.6km bermula di Kampung Seri Bunian, Pontian menuju ke Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi sebelum berakhir di Kampung Parit Betak.

Selain bersama keluarga angkat mengenali budaya dan gaya hidup penduduk setempat, peserta turut berhenti di beberapa lokasi sepanjang kayuhan termasuklah tempat penternakan puyuh dan juga lawatan ke projek IKS Perusahaan Cendawan. Ia juga sebagai satu usaha mempromosi aktiviti perekonomian kampung kepada peserta kayuhan.

Pada hari kedua, kayuhan diteruskan sejauh 21 km menuju ke Pantai Punggur untuk bersama-sama dalam Program Kesedaran Hakisan Pantai. Program dengan kerjasama UTHM ini menyaksikan peserta ACT bersama-sama mahasiswa UTHM menanam anak pokok bakau di pantai itu. Ia turut disertai oleh masyarakat setempat.

Selesai acara menanam pokok bakau, para peserta didedahkan dengan taklimat hakisan pantai oleh wakil UTHM, Dr Tan Lai Wai sebelum majlis perasmian penutupan.

Hadir sama di majlis Perasmian Penutup KCN4 itu ialah  ADUN Rengit, YB Hj Ayub Bin Hj Jamil dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa  UTHM, Profesor Ir. Abdul Aziz  Dato' Abdul Samad.

Menurut Penasihat Kelab ACT, Ahmad Ruzizan Maphilindo Mohd. Isa, acara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, badan kerajaan dan bukan kerajaan itu dianjur bertujuan menyuntik semangat cintakan negara di samping mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan rakyat negara ini melalui sukan berbasikal.

“Program KCN Fasa 4 kali ini adalah penutup kepada siri jelajah Kayuhan Cinta Negara. Fasa pertama  berlangsung di Zon Timur yang bermula di Felda Jengka 25 pada Januari lalu dan berakhir di Kuala Lipis dengan jarak kayuhan sejauh 300km. Manakala Fasa Kedua  diadakan di Zon Utara pada April lalu. Kayuhan sejauh 107.5 km itu bermula di Pendang dan berakhir di Jeniang, Kedah. Fasa ketiga pula diadakan Julai lalu di Zon Tengah iaitu sejauh 112 km dari Ipoh menuju ke Parit dan berakhir di Pantai Remis”

Menurutnya, KCN berbeza dengan ekspedisi kayuhan berbasikal yang lain berikutan setiap ahli diberi kesedaran untuk memainkan peranan sebagai modal insan yang boleh membantu meningkatkan jati diri dan kecintaan mereka kepada negara.

“Menerusi program-program kayuhan yang dijalankan, matlamat ACT untuk melahirkan atlit berbasikal yang berdisiplin dan bersatu telahpun dicapai. ACT kini menerusi KCN melangkah lagi ke hadapan untuk membawa misi positif ke dalam masyarakat Malaysia. Kita memfokuskan mencari kebaikan di setiap daerah yang dilalui dengan cita-cita untuk mendidik masyarakat dengan konsep bersatu, berdisiplin, cintakan alam sekitar serta mencintai kedamaian."

MENJALIN HUBUNGAN PERSAHABATAN

Para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti bersama masyarakat tempatan di setiap persinggahan mereka. Dalam kesempatan masa yang singkat, para peserta dan masyarakat menggunakan setiap masa terluang untuk menjalinkan hubungan persahabatan, berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama mereka.

Selain itu, Ahmad Ruzizan dalam ucapannya menyatakan ke hadapan pihaknya amat mengalu-alukan  apa jua bentuk kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan ACT.

Dengan mengenali pelbagai kawasan serta masyarakat Malaysia melalui pengalaman sendiri, para peserta didapati lebih menghargai sejarah negara. kepelbagian tarikan tempatan, budaya dan adat resam masyarakat Malaysia, sekaligus meningkatkan kefahaman cinta kepada negara. Ia selari dengan matlamat Gagasan 1Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan para peserta yang kebanyakannya tinggal di bandar dapat menyelami keindahan sebenar kehidupan di desa dan memahami cita-cita kerajaan dalam membangun kawasan luar bandar seperti  yang diusahakan dalam Model Ekonomi Baru (MBE) Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

--ACT@2011

 

Sharing is Caring

Gallery Folder