Jerantut,25 September – Menerusi kerjasama dan idea daripada Jabatan Perpaduan Jerantut, Associated Cyclosportif Trekkers(ACT) cawangan Pahang, telah berjaya mengadakan Program Mini Homestay dan Kayuhan Cinta Desa.Program ini memilih Kampung Perlok sebagai destinasi sekaligus sebagai desa angkat dalam program siri pembangunan cinta desa . Program ini telah disertai oleh 26 orang cyclist termasuk 6 orang panitia sokongan.

Program 2 hari ini  bertujuan meluaskan hubungan silaturrahim antara ACT dengan semua lapisan masyarakat di sini. Tidak sekadar bertujuan mengenali budaya dan potensi  ekonomi malahan program ini bertujuan menjadi pemangkin dalam menyumbang pembangunan desa tanpa mengubah dan merosakkannya.

Kayuhan mengelilingi kampung sejauh 21 km itu dimulakan pada jam 9 pagi dan tamat pada jam 12 tengahari. Antara lokasi yang menjadi tempat singgahan dan lawatan semasa kayuhan ialah Pusat Pengembangan  Akuakultur Perlok, Makam Tokoh Sejarah Ulu Cheka, Allahyarham Pawang Nong dan  tempat rekreasi di sini.

Menurut Pengerusi projek KCD, En Mohamed Suhaimi Mohd Yusoff, program ini  menjadi pencetus kepada muda-mudi tempatan mencintai diri dan desa mereka . Selain bertujuan mendidik diri tidak cepat terpengaruh dengan perkara yang tidak sihat. Beliau berharap  dapat mengajak setiap lapisan masyarakat bersama-sama menjadi warga berminda baru  yang tidak hanya tahu menuding jari kepada orang lain. Sebaliknya bersama-sama membuat sesuatu demi kebaikan negara.

Menurut Suhaimi lagi, dalam masa terdekat projek Desa IT adalah projek susulan yang sedang dirangka untuk kampung Perlok.
Sementara itu, Ketua Kampung Perlok, En Abdul Kassim Sulaiman berpendapat program seumpama ini mampu menguntungkan projek ‘homestay (rumah inap) yang baru sahaja diperkenalkan di kampung tersebut. Beliau  menaruh harapan tinggi agar ACT dapat meneruskan kerjasama bersama pihak beliau. Malahan amat  mengalu-alukan kerjasama ACT dengan kampung tersebut pada masa hadapan.

Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Jerantut, Encik Tahar Musa,  percaya dan menyifatkan kampung tradisional ini berpotensi tinggi dijadikan sebagai tempat pelancongan dan rekreasi. Harapan beliau agar kerjasama daripada kedua pihak akan berjaya mencapai objektif seperti yang telah dirancangkan.

Sebelah petangnya  ACT dijemput untuk meraikan Sambutan Aidilfitri yang berlangsung di balai raya. Tetamu kehormat yang hadir ialah ADUN Damak , YB Dato’ Lau Lee dan ADUN Tahan YB Dato' Wan Amizan Wan Razak.

Terima kasih kepada warga Kampung Perlok kerana menerima kehadiran ACT. Semoga hubungan sebagai desa angkat ini berterusan dan memberi kebaikan bersama. Malahan menjadi ikutan kepada kelab ACT negeri  yang lain dalam usaha positif ke arah  membantu meningkatkan kemajuan dan perpaduan luar bandar.

--ACT@2011

 

Sharing is Caring

Gallery Folder