Kunjungan peserta Kayuhan Cinta Negara (KCN) anjuran Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) Fasa 3 baru-baru ini tidak akan lengkap tanpa program silaturrahim bersama masyarakat setempat.
Perlawanan yang dijadualkan bermula jam 5.30 petang itu terpaksa ditangguhkan selama sejam berikutan keperluan para peserta kayuhan untuk menguruskan hal-hal logistik dan penempatan.
Pun begitu, pasukan dari Parit yang dianggotai oleh masyarakat pelbagai lapisan umur (dari sekolah menengah hingga golongan veteran) tetap setia menunggu pasukan ACT dengan sabar sambil menjalankan latihan-latihan ‘set-piece’. Kehadiran pasukan ACT disambut dengan senyuman dan sapaan mesra daripada warga tempatan.
DISIPLIN DAN SEMANGAT KUNCI KEJAYAAN
Perlawanan bermula tepat jam 6.30petang, dari minit pertama permainan, pasukan ACT diasak hebat melalui permainan berdisiplin tinggi dan kecekapan kawalan bola oleh para pemain dari pasukan Belia Parit.
Mereka hampir menjaringkan gol di awal permainan melalui hantaran silang yang mengelirukan tetapi kecekapan penjaga gol pasukan ACT menafikan percubaan tersebut. Pertahanan pasukan ACT turut dikerah bekerja keras untuk menidakkan percubaan-percubaan berikutnya.
Peluang ACT hadir melalui ‘set-piece’ daripada sepakan percuma tetapi pemain pertahanan pasukan Belia Parit berjaya mengekang kemaraan para penyerang pasukan ACT.
Hasil usaha yang tidak putus-putus, pasukan Belia Parit berjaya mendapatkan gol pendahuluan melalui penyudah cantik hasil hantaran silang dari bahagian kanan padang.
Tersentak dengan keadaan ini pasukan ACT melipat-gandakan serangan.
Walaupun mendahului, pasukan Belia Parit tidak henti-henti menyerang lalu mendapatkan gol kedua hasil larian cantik memecahkan perangkap offsaid diikuti rembatan kencang menggegarkan jaring gol pasukan ACT buat kali kedua.
Di separuh masa berikutnya, kedua-dua pasukan membuat pertukaran pemain yang membawa nafas baru kepada perlawanan ini. Permainan menjadi lebih seimbang apabila kedua-dua pasukan terpaksa berhempas pulas mempertahankan gol masing-masing.
Pasukan ACT meningkatkan serangan melalui hantaran-hantaran pendek, bagaimanapun barisan pertahanan Belia Parit terlalu kebal untuk ditembusi, bahkan beberapa serangan balas pantas (fast break) dapat dilancarkan Belia Parit.
Walau bagaimanapun, pasukan belia Parit nyata lebih unggul dengan jaringan ketiga hasil rembatan dari luar petak penalti ke bucu atas kanan gawang pasukan ACT untuk gol terakhir perlawanan dengan keputusan penuh 0-3 memihak kepada pasukan Belia Parit.
PERMAINAN CANTIK DAN BERSIH
Di sepanjang perlawanan, permainan berlangsung dengan bersih sesuai dengan konsep ‘Fair Play’ dan tiada sebarang kad dikeluarkan oleh pengadil.
Selain daripada mutu permainan yang menarik, pujian harus harus diberikan kepada pasukan Belia Parit di atas semangat kesukanan yang tinggi yang dipamerkan. Pada satu ketika di mana pasukan ACT sedang menyerang, mereka turut memberikan kata-kata semangat kepada pemain ACT.
Walaupun sedang serius bermain, ada kalanya para pemain belia Parit sempat bergurau-senda dengan pemain ACT. Ini melahirkan suasana ceria di atas padang dan menjalinkan ikatan silaturrahim antara kedua-dua pihak.
Pasukan belia Parit juga menyatakan kekaguman mereka terhadap keupayaan pemain ACT yang mampu memberi saingan walaupun selepas penat berkayuh sepanjang hari. Mereka menganggap kehadiran ACT sebagai satu motivasi kepada mereka untuk menjalankan cara hidup sihat.
Sebelum berpisah, pemain kedua-dua pasukan saling bersalaman dan menyatakan hasrat untuk bertemu lagi di perlawanan persahabatan yang akan datang, sebagai tanda permulaan ukhuwah yang tidak akan putus.
BELIA BERKUALITI HASIL USAHA SEMUA
Menurut pengamatan Penasihat ACT, Ahmad Ruzizan Maphilindo, kualiti belia di Parit wajar dibanggakan dan menjadi contoh kepada semua ahli ACT.
“Keberjayaan program-program pembangunan belia di sini nyata terbukti apabila kita melihat sendiri kualiti masyarakat muda di sini yang kuat dari aspek fizikal, mental dan spiritual,” komen beliau.
Beliau turut menyatakan, usaha untuk menghasilkan golongan belia berkualiti sebegini bukanlah mudah jika tiada kerjasama baik antara semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti pembangunan belia.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan belia di kawasan ini. Tentunya pihak-pihak seperti Penghulu Mukim Parit, Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan Parit, JKKK Kampung Belanja Kanan serta persatuan-persatuan belia berbangga melihat perkembangan positif belia di kawasan ini sejajar dalam usaha memartabatkan golongan ini di mata masyarakat.
Semoga berjumpa lagi di lain masa, ACT mendoakan warga belia Parit agar sentiasa suksess dalam apa jua bidang yang diceburi demi kebaikan agama,bangsa dan negara.
--ACT@2011



ACT News