Suatu ketika dulu, Perak dikenali sebagai sebuah daerah yang kaya dengan hasil perlombongan bijih timah. Peredaran masa menyebabkan hasil bumi yang diperoleh semakin berkurangan dan akhirnya yang tinggal hanyalah bekas-bekas lombong. Kini, bekas lombong yang tidak lagi aktif dan terbiar boleh dilihat di kebanyakan daerah di negeri ini. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan tempatan dan masyarakat bagi memanfaatkan kawasan terbiar ini.
Salah satu daripadanya ialah mengusahakan Pusat Pertanian Kampung Kepayang di atas bekas lombong seluas 22 hektar, termasuk tiga buah kolam bekas lombong dengan keluasan 14 hektar di dalamnya. Pusat pertanian yang lokasinya berhampiran Bandaraya Ipoh dan Kampar ini berjaya mencatatkan kejayaan dalam meningkatkan kualiti dan potensi alam.
Operasinya bermula pada 1987, dan selepas lima tahun, pada 1 Ogos 2002, Pusat Pertanian ini diiktiraf sebagai ‘Taman Herba Negeri Perak”. Pengisytiharan dilakukan oleh Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.
Antara tulang belakang kejayaan Taman Herba ini, adalah hasil penyelidikan yang dijalankan oleh beberapa penyelidik. Pegawai Penyelidik Taman Herba S.Balachandran berkata penyelidik menjadi nadi dalam penyelidikan bagi memperbaharui formula mahupun produk herba demi kebaikan bersama. Mereka turut bertanggungjawab menemukan kaedah terbaik untuk tanaman di kawasan yang telah lama terbiar ini.
Bagi Balachandran, di peringkat awal cabaran utama adalah untuk menanam tanaman herba di kawasan tanah yang berpasir. Pelbagai langkah dan usaha telah dicuba untuk menjayakan misi mereka itu. Kini mereka mampu tersenyum puas melihat usaha yang dicambah telah membuahkan hasil. Malahan mendapat pengiktirafan negara sehingga diiktiraf sebagai Muzium Tanaman Herba.
MUZIUM TANAMAN HERBA
Dilaporkan koleksi herba yang terkumpul di taman ini telahpun mencecah 585 spesies. Pengunjung yang datang boleh melihat kepelbagaian herba yang diklasifikasi mengikut kegunaan iaitu herba ubatan, ulaman, kosmetik dan aromaterapi. Terdapat beberapa nama popular seperti emas cotek, jerangau, rempah padang, kunyit, serai wangi, bebuas dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun, dalam kunjungan Kayuhan Cinta Negara ACT di Taman herba tersebut, boleh dikatakan hampir kesemua peserta terkejut dan tertarik dengan sejenis herba yang dinamakan ‘haba neraka’.
Sebagai individu yang bertanggungjawab di dalam bidang penyelidikan, Balachandaran sangat terbuka berkongsi rahsia pelbagai herba yang terdapat di taman berkenaan. Ini bersesuaian dengan tujuan asal penubuhan taman herba berkenaan sebagai pusat penelitian dan penyelidikan bagi tanaman herba. Lebih menarik ia turut dikenali sebagai hutan herba dalam Bandar berdasarkan kepada kedudukannya di antara dua bandar.
Faktor ini memberi peluang kepada masyarakat dalam menerokai keajaiban dunia herba tanpa perlu ke hutan belantara. Kelebihan pada taman ini turut dijadikan pusat sumber sambil memancing dan menikmati alam semulajadi.
Semangat tidak mengenal putus asa dan yakin pada usaha tanpa batasan telah membawa kejayaan yang amat membanggakan.Usaha tanpa mengenal lelah ini telah terbayar dengan pengisytiharannya sebagai Muzium Tanaman Herba. Kepelbagaian koleksi herba dari dalam dan luar negara turut memberi peluang yang luas buat masyarakat dalam menerokai dan mempelajari dunia herba.
KONGSI MANFAAT
Kini Balachandran dalam usaha menyebarkan manfaat tanaman herba kepada golongan suri rumah di sekitar daerah berkenaan. Beliau mengedarkan 1000 pokok kepada mereka untuk ditanam di kawasan rumah masing-masing. Cara ini bertujuan membantu mereka dalam menambahkan pendapatan keluarga.
Sebagai Muzium Tanaman Herba, sudah tentu ia dianggap sebagai khazanah negara yang perlu dipelihara. Secara tidak langsung juga, taman ini menggabungkan medan perbatan tradisional dan moden ke arah melahirkan masyarakat yang sihat dan celik herba. Apatah lagi kebaikan dan khasiat ramuan herba dan tumbuhan yang ditanam di sini telah dipastikan keberkesanannya.
Melalui penyelidikan dan kombinasi dengan teknologi terbaru, diharapkan lebih banyak usaha dapat dilakukan bagi mengurangkan pembaziran potensi alam. Usaha memanfaatkan kawasan-kawasan terbiar akan diteruskan kerana ia mampu menjana kepada ekonomi negara. Ia bukanlah perkara mustahil kerana telah dibuktikan oleh Taman Herba Negeri Perak ini.
Sekalung tahniah kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan taman ini.



ACT News