Membudayakan perpaduan

BENUT - Usaha menyatupadukan masyarakat tidak hanya terletak kepada peranan jabatan dan agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu mendapat kerjasama dan sokongan daripada segenap lapisan masyarakat.

Justeru, program Kayuhan Cinta Negara anjuran Associted Cyclosportif Trekkers (ACT) yang bermula di Kampung Seri Bunian, Pontian dan berakhir di Pantai Punggur, Batu Pahat baru-baru ini menjadi platform ke arah usaha membudayakan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon berkata, peranan itu bukan sahaja boleh dilakukan di tempat kerja, tempat tinggal atau komuniti masing-masing tetapi diterjemahkan melalui aktiviti yang dianjurkan.

"Kesedaran seperti itu wajar diterapkan bukan sahaja ketika di bangku sekolah tetapi perlu menjadi satu amalan dan budaya hidup supaya konsep bersatu padu terus dipertahankan.

“Walaupun mudah untuk diucapkan, namun ia perlu keikhlasan supaya lapisan masyarakat dapatmemahami peranan serta tanggungjawabnya dalam sebuah masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya,” katanya ketika berucap pada satu majlis khas yang diadakan di Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi, di sini, kelmarin.

Program sebelum itu menarik penglibatan kira-kira 350 peserta dari seluruh negara dan Singapura.

Hadir sama Ketua Ekspedisi KCN, Mohd. Ruzizan Maphlindo Md. Isa, Presiden ACT, Mohd. Ariff Md. Isa,Penghulu Mukim Ayer Baloi, Zulkiflee Tubee dan Ketua Kampung Parit Kahar, Mohd. Radi Mohd. Noor.

Pihaknya turut mengalu-alukan usaha yang dilakukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO)untuk sama-sama memikul tanggungjawab tersebut supaya tidak timbul perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Saya difahamkan di antara objektif KCN adalah menyeru ke arah hidup bersatu padu tanpa dipisahkanoleh ikatan yang sempit seperti kaum, keturunan, agama, bahasa, budaya dan sebagainya,” katanya.

Katanya, pemilihan objektif itu amat bertepatan bagi sama-sama membantu kerajaan mewujudkansebuah masyarakat yang saling hormat menghormati tanpa ada prasangka dan curiga.

Oleh yang demikian, Muji menyambut baik program KCN yang telah memilih daerah Pontian sebagailokasi penjelajahan bagi memperkenalkan daerah ini kepada para peserta yang datang dari seluruh negara.

Pemilihan Kampung Seri Bunian, Parit Kahar dan Parit Betak, katanya, mempunyai banyak keistimewaan seperti kegiatan ekonomi, kebudayaan, pelancongan mahupun etniknya seperti Jawa dan Bugis.

--Petikan Sinar Harian Edisi Johor, 17 Oktober 2011. Artikel ini boleh dilayari di sini.

--ACT mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kerja Sinar Harian kerana sudi hadir dan meliput program Kayuhan Cinta Negara Fasa 4, 2011.

 

Sharing is Caring

Gallery Folder