Editorial

Kayuhan Basikal ACT Bawa Mesej Cintakan Negara PDF Print E-mail
Written by Admin   

Salam,

Alhamdulillah, satu lagi berita berkenaan Kayuhan Cinta Negara Fasa 4 telah diterbitkan oleh BERNAMA, kami kongsikan di sini.

---Quote---

Kayuhan Basikal ACT Bawa Mesej Cintakan Negara

Oleh Nurul Halawati Azhari

BATU PAHAT, 8 Nov (Bernama) -- Berdisiplin, bersatu, dan bersemangat!

Mungkin tiga frasa yang dapat menggambarkan keistimewaan 206 pengayuh dan 102 panitia yang menyertai jelajah Kayuhan Cinta Negara Fasa 4 2011 (KCN) di Johor baru-baru ini.

Malah kehadiran kelab berbasikal Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) di daerah Pontian dan Batu Pahat itu disambut meriah dan mesra oleh masyarakat setempat.

Aura kegembiraan dan kemesraan sambutan itu turut dirasai oleh pihak media yang bersama-sama mengikuti siri jelajah berbasikal 3 hari 2 malam berkenaan.

Sepanjang kayuhan sejauh 75 km itu, ACT memberi persepsi yang berbeza terhadap aktiviti berbasikal. Bukan sahaja kepada pihak media, malah anggota masyarakat yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan siri jelajah itu.

Sesuai dengan namanya Kayuhan Cinta Negara, setiap program yang dirancang di sepanjang jelajah mempunyai objektif yang bertujuan melahirkan perpaduan, rasa sayang dan menghargai keistimewaan dan keunikan setiap lokasi yang disinggahi.

Menurut Penasihat Kelab ACT, Ahmad Ruzizan Maphilindo Mohd Isa, acara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan kerajaan dan bukan kerajaan itu dianjur bertujuan menyuntik semangat perpaduan dan cintakan negara di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat melalui sukan berbasikal.

"Program KCN Fasa 4 kali ini adalah penutup kepada empat siri jelajah Kayuhan Cinta Negara yang dirancang ACT sebagai program kayuhan terbesar kelab.

"Seperti siri jelajah KCN yang lain, kali ini di Zon Selatan turut melibatkan penyertaan daripada ahli dari seluruh Malaysia dan Singapura," jelas Ruzizan.

Fasa pertama berlangsung di Zon Timur, yang bermula di Felda Jengka 25 pada Januari lepas, dan berakhir di Kuala Lipis dengan jarak kayuhan sejauh 300km.

Fasa Kedua di Zon Utara pada April sejauh 107.5 km. Kayuhan bermula di Pendang dan berakhir di Jeniang, Kedah.

Fasa ketiga pula diadakan di Zon Tengah pada Julai sejauh 112 km dari Ipoh ke Parit dan berakhir di Pantai Remis.

BUKTI CINTA NEGARA

Menurut Ruzizan, KCN berbeza dengan ekspedisi kayuhan berbasikal yang lain berikutan setiap ahli diberi kesedaran untuk memainkan peranan sebagai modal insan yang boleh membantu meningkatkan jati diri dan kecintaan mereka kepada negara.

"Menerusi program kayuhan yang dijalankan, matlamat ACT untuk melahirkan atlit berbasikal yang berdisiplin dan bersatu telahpun dicapai. Tidak ada istilah berlumba-lumba mahupun menunjukkan siapa yang lebih hebat. Peserta sememangnya akur dengan disiplin kelab semasa dalam kelompok," demikian menurut Ruzizan.

ACT kini menerusi KCN melangkah lagi ke hadapan untuk membawa misi positif dalam masyarakat Malaysia.

Tidak sekadar bersukan, mereka turut menumpukan perhatian mencari kebaikan di setiap daerah yang dilalui dengan cita-cita untuk mendidik masyarakat dengan konsep bersatu, berdisiplin, cintakan alam sekitar serta mencintai kedamaian.

ACT BERMASYARAKAT

Benar bagai yang dikata, suasana meriah mula dirasai pada hari pertama di Kampung Seri Bunian, Pontian, apabila panitia memasak secara rewang bersama masyarakat kampung.

Di pihak tuan rumah, mereka bangga dapat menunjukkan semangat gotong-royong dan keistimewaan tempat mereka.

Manakala di pihak penganjur, ada yang nampaknya teruja kerana pertama kali melihat penyediaan nasi beriani gam dan lauk-pauk dimasak secara rewang.

Malamnya selepas solat berjemaah dan sedikit tazkirah oleh Imam Masjid, peserta dan masyarakat kampung beramai-ramai pula bergerak ke lokasi persembahan kebudayaan.

Matlamat bermasyarakat dan mengenali negara disalurkan secara tidak langsung menerusi persembahan kebudayaan marhaban, gambus, silat, kompang berjidur, angklung dan kuda kepang.

Keesokannya, selepas perasmian dan kayuhan keliling kampung bersama ADUN Kukup, Datuk Md Othman Yusof, perjalanan diteruskan ke Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi.

Sekali lagi mereka disambut wajah-wajah ceria penduduk setempat dan Pegawai Daerah, Muji Salimon. Walaupun hanya sebagai lokasi singgahan untuk solat dan makan tengah hari, rata-rata penduduk yang hadir melahirkan rasa gembira kerana pertama kali menyaksikan tetamu 'berbasikal' ke kampung mereka. Malah ada yang terkilan kerana ACT tidak bermalam di sana.

NASI AMBENG

Mereka kemudian menuju ke Kampung Parit Betak, Batu Pahat.

Kali ini, konvoi bertambah dengan penyertaan oleh 40 ahli Kelab Basikal Klasik Batu Pahat, yang menyertai mereka kira-kira 3 kilometer sebelum tiba di Masjid Parit Betak.

Nampaknya, jelajah ACT dengan objektif bermasyarakat dan melahirkan rasa cintakan negara melalui perpaduan turut disokong oleh kelab ini.

Di lokasi bermalam ini, warga ACT dan media tentu tidak dapat melupakan keunikan makan nasi ambeng dalam dulang.

Malah lebih berbesar hati apabila malam yang sama, satu lagi majlis kebudayaan dianjurkan pula Belia 4B kampung berkenaan.

Selain bersama keluarga angkat mengenali budaya dan gaya hidup penduduk setempat, peserta turut berhenti di beberapa lokasi sepanjang kayuhan termasuklah tempat penternakan puyuh dan lawatan ke projek IKS Perusahaan Cendawan.

Satu usaha mempromosi dan menjalinkan kerjasama pemasaran aktiviti perekonomian kampung kepada peserta kayuhan.

TANAM 500 ANAK BAKAU

Keesokannya, kayuhan mereka bermula di Sekolah kebangsaan Parit Betak. Kali ini disertai oleh 50 pengayuh dari kelab-kelab berbasikal Johor dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kayuhan diteruskan sejauh 21 km menuju ke Pantai Punggur, Rengit untuk bersama-sama dalam Program Kesedaran Hakisan Pantai.

Penanaman 500 anak pokok bakau itu menjadi pelengkap kepada penutup jelajah KCN ini. Selesai acara menanam pokok bakau, para peserta didedahkan dengan taklimat hakisan pantai oleh wakil UTHM, Dr Tan Lai Wai sebelum majlis perasmian penutupan.

Hadir sama pada majlis Perasmian Penutup KCN4 itu ialah ADUN Rengit, Ayub Jamil dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTHM, Profesor Ir. Abdul Aziz Datuk Abdul Samad.

MENJALIN HUBUNGAN PERSAHABATAN

Dalam kesempatan masa yang singkat, para peserta dan masyarakat menggunakan setiap masa terluang untuk menjalinkan hubungan persahabatan, berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama mereka.

Sekalung tahniah kepada kelab ACT di atas usaha penubuhan kelab itu dengan biaya sendiri dan ahlinya sanggup mengambil cuti semata-mata mahu menjayakan program yang besar faedahnya untuk masyarakat dan negara.

Oktober lepas ACT bersama-sama pihak PDRM menganjurkan Program Kayuhan 1000 Belia bersempena Hari Terbuka PDRM. Selain aktif di peringkat negeri menganjurkan siri-siri Kayuhan Cinta Desa (KCD) dengan matlamat dan tujuan yang sama.

Bagi mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan ACT, kelab ini amat menyambut baik sebarang bentuk kerjasama yang menjurus kepada matlamat melahirkan rasa cinta kepada negara. ACT boleh dihubungi dengan melayari laman web www.act.org.my.

-- BERNAMA

---Unquote---

- Anda juga boleh membaca artikel ini dalam versi Bahasa Inggeris di sini.

- Untuk membaca artikel ini di website Bernama, sila klik di sini.

- Untuk melihat gambar-gambar yang tersiar di Bernama, sila klik di link di bawah:

1. Pelepasan di Sek. Men Parit Betak

2. Sedang berkayuh

3. Makan Nasi Ambeng

4. Menanam Bakau bersama pelajar UTHM

 

Add a comment
 
Membudayakan perpaduan PDF Print E-mail
Written by Admin   

Membudayakan perpaduan

BENUT - Usaha menyatupadukan masyarakat tidak hanya terletak kepada peranan jabatan dan agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu mendapat kerjasama dan sokongan daripada segenap lapisan masyarakat.

Justeru, program Kayuhan Cinta Negara anjuran Associted Cyclosportif Trekkers (ACT) yang bermula di Kampung Seri Bunian, Pontian dan berakhir di Pantai Punggur, Batu Pahat baru-baru ini menjadi platform ke arah usaha membudayakan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon berkata, peranan itu bukan sahaja boleh dilakukan di tempat kerja, tempat tinggal atau komuniti masing-masing tetapi diterjemahkan melalui aktiviti yang dianjurkan.

"Kesedaran seperti itu wajar diterapkan bukan sahaja ketika di bangku sekolah tetapi perlu menjadi satu amalan dan budaya hidup supaya konsep bersatu padu terus dipertahankan.

“Walaupun mudah untuk diucapkan, namun ia perlu keikhlasan supaya lapisan masyarakat dapatmemahami peranan serta tanggungjawabnya dalam sebuah masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya,” katanya ketika berucap pada satu majlis khas yang diadakan di Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi, di sini, kelmarin.

Program sebelum itu menarik penglibatan kira-kira 350 peserta dari seluruh negara dan Singapura.

Hadir sama Ketua Ekspedisi KCN, Mohd. Ruzizan Maphlindo Md. Isa, Presiden ACT, Mohd. Ariff Md. Isa,Penghulu Mukim Ayer Baloi, Zulkiflee Tubee dan Ketua Kampung Parit Kahar, Mohd. Radi Mohd. Noor.

Pihaknya turut mengalu-alukan usaha yang dilakukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO)untuk sama-sama memikul tanggungjawab tersebut supaya tidak timbul perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Saya difahamkan di antara objektif KCN adalah menyeru ke arah hidup bersatu padu tanpa dipisahkanoleh ikatan yang sempit seperti kaum, keturunan, agama, bahasa, budaya dan sebagainya,” katanya.

Katanya, pemilihan objektif itu amat bertepatan bagi sama-sama membantu kerajaan mewujudkansebuah masyarakat yang saling hormat menghormati tanpa ada prasangka dan curiga.

Oleh yang demikian, Muji menyambut baik program KCN yang telah memilih daerah Pontian sebagailokasi penjelajahan bagi memperkenalkan daerah ini kepada para peserta yang datang dari seluruh negara.

Pemilihan Kampung Seri Bunian, Parit Kahar dan Parit Betak, katanya, mempunyai banyak keistimewaan seperti kegiatan ekonomi, kebudayaan, pelancongan mahupun etniknya seperti Jawa dan Bugis.

--Petikan Sinar Harian Edisi Johor, 17 Oktober 2011. Artikel ini boleh dilayari di sini.

--ACT mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kerja Sinar Harian kerana sudi hadir dan meliput program Kayuhan Cinta Negara Fasa 4, 2011.

Add a comment
 
VECT Ucap Tahniah Penganjuran KCN Fasa 4 PDF Print E-mail
Written by Ali Imran Mohd Noordin   

KUALA LUMPUR, 20 Oktober - Sebuah kelab yang menyertai Kayuhan Cinta Negara Fasa 4 baru-baru ini, V'Explorer Cycling Team (VECT) mengucapkan tahniah kepada ACT di atas penganjuran Kayuhan Cinta Negara Fasa 4, Zon Selatan dengan menyifatkannya sebagai berjaya 'memberikan kesedaran pentingnya penjagaan alam sekitar dengan konsep kayuhan dalam mempromosi Johor sebagai destinasi pelancongan'.

Pasukan yang berpusat di Parit Raja, Batu Pahat ini bergabung dengan beberapa kelab lain seperti RECnVIRO dan KMTB bergabung atas nama UTHM menyertai kayuhan pada hari kedua yang bermula dari SMK Parit Betak ke Pantai Punggur.

Melalui komen di blog rasmi mereka http://vectcyclingteam.blogspot.com/, mereka menyatakan penghargaan atas peluang yang diberi serta kagum dengan disiplin yang diamalkan oleh para pengayuh ACT, di samping memandang usaha ACT melakukan kayuhan sebagai bukti cinta kepada negara adalah satu usaha yang murni.

ACT sangat menghargai penglibatan VECT di KCN Fasa 4 ini dan berharap agar dapat bekerjasama lagi dengan VECT pada masa akan datang. Diharapkan agar hubungan silaturrahim yang telah terbina ini akan berkekalan sampai bila-bila.

Kepada mana-mana pihak yang mahu berkayuh bersama VECT, kayuhan dilakukan setiap petang pada jam 6.00 petang. Lokasi berkumpul ialah gelanggang Takraw, Taman Manis, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Untuk lebih info bolehlah menghubungi Ketua Kayuhan di 019-7779373.

Komen penuh VECT boleh dilayari di http://vectcyclingteam.blogspot.com/2011/10/kayuhan-cinta-negara-zon-selatan.html?spref=fb

"Yok kayuh kua peluh!"

--ACT@2011

 

Add a comment
 
Tanam 500 Anak Bakau Pelengkap Kayuhan Cinta Negara 2011 PDF Print E-mail
Written by Nashirah Abdullah   

BATU PAHAT, 16 OKT – Penanaman 500 anak pokok bakau di Pantai Punggur, Rengit menjadi pelengkap kepada jelajah Kayuhan Cinta Negara Fasa 4 (KCN) anjuran kelab berbasikal Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) di sini hari ini.

Dalam kayuhan dua hari sejauh 75 km itu, seramai 308 ahli ACT yang terdiri daripada 206 pengayuh dan 102 panitia menjelajah ke Negeri Johor Darul Takzim sebagai destinasi penutup jelajah kelab tersebut bagi tahun 2011. Turut berkayuh ialah 50 peserta dari kelab-kelab berbasikal Johor dan juga pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kayuhan hari pertama sejauh 46.6km bermula di Kampung Seri Bunian, Pontian menuju ke Kampung Parit Kahar, Ayer Baloi sebelum berakhir di Kampung Parit Betak.

Selain bersama keluarga angkat mengenali budaya dan gaya hidup penduduk setempat, peserta turut berhenti di beberapa lokasi sepanjang kayuhan termasuklah tempat penternakan puyuh dan juga lawatan ke projek IKS Perusahaan Cendawan. Ia juga sebagai satu usaha mempromosi aktiviti perekonomian kampung kepada peserta kayuhan.

Pada hari kedua, kayuhan diteruskan sejauh 21 km menuju ke Pantai Punggur untuk bersama-sama dalam Program Kesedaran Hakisan Pantai. Program dengan kerjasama UTHM ini menyaksikan peserta ACT bersama-sama mahasiswa UTHM menanam anak pokok bakau di pantai itu. Ia turut disertai oleh masyarakat setempat.

Selesai acara menanam pokok bakau, para peserta didedahkan dengan taklimat hakisan pantai oleh wakil UTHM, Dr Tan Lai Wai sebelum majlis perasmian penutupan.

Hadir sama di majlis Perasmian Penutup KCN4 itu ialah  ADUN Rengit, YB Hj Ayub Bin Hj Jamil dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa  UTHM, Profesor Ir. Abdul Aziz  Dato' Abdul Samad.

Menurut Penasihat Kelab ACT, Ahmad Ruzizan Maphilindo Mohd. Isa, acara dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, badan kerajaan dan bukan kerajaan itu dianjur bertujuan menyuntik semangat cintakan negara di samping mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan rakyat negara ini melalui sukan berbasikal.

“Program KCN Fasa 4 kali ini adalah penutup kepada siri jelajah Kayuhan Cinta Negara. Fasa pertama  berlangsung di Zon Timur yang bermula di Felda Jengka 25 pada Januari lalu dan berakhir di Kuala Lipis dengan jarak kayuhan sejauh 300km. Manakala Fasa Kedua  diadakan di Zon Utara pada April lalu. Kayuhan sejauh 107.5 km itu bermula di Pendang dan berakhir di Jeniang, Kedah. Fasa ketiga pula diadakan Julai lalu di Zon Tengah iaitu sejauh 112 km dari Ipoh menuju ke Parit dan berakhir di Pantai Remis”

Menurutnya, KCN berbeza dengan ekspedisi kayuhan berbasikal yang lain berikutan setiap ahli diberi kesedaran untuk memainkan peranan sebagai modal insan yang boleh membantu meningkatkan jati diri dan kecintaan mereka kepada negara.

“Menerusi program-program kayuhan yang dijalankan, matlamat ACT untuk melahirkan atlit berbasikal yang berdisiplin dan bersatu telahpun dicapai. ACT kini menerusi KCN melangkah lagi ke hadapan untuk membawa misi positif ke dalam masyarakat Malaysia. Kita memfokuskan mencari kebaikan di setiap daerah yang dilalui dengan cita-cita untuk mendidik masyarakat dengan konsep bersatu, berdisiplin, cintakan alam sekitar serta mencintai kedamaian."

MENJALIN HUBUNGAN PERSAHABATAN

Para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti bersama masyarakat tempatan di setiap persinggahan mereka. Dalam kesempatan masa yang singkat, para peserta dan masyarakat menggunakan setiap masa terluang untuk menjalinkan hubungan persahabatan, berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama mereka.

Selain itu, Ahmad Ruzizan dalam ucapannya menyatakan ke hadapan pihaknya amat mengalu-alukan  apa jua bentuk kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan ACT.

Dengan mengenali pelbagai kawasan serta masyarakat Malaysia melalui pengalaman sendiri, para peserta didapati lebih menghargai sejarah negara. kepelbagian tarikan tempatan, budaya dan adat resam masyarakat Malaysia, sekaligus meningkatkan kefahaman cinta kepada negara. Ia selari dengan matlamat Gagasan 1Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan para peserta yang kebanyakannya tinggal di bandar dapat menyelami keindahan sebenar kehidupan di desa dan memahami cita-cita kerajaan dalam membangun kawasan luar bandar seperti  yang diusahakan dalam Model Ekonomi Baru (MBE) Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

--ACT@2011

Add a comment
 
1000 Belia Ikrar Benteras Jenayah PDF Print E-mail
Written by Asmayuzi Abdullah   

Kuala Lumpur, 1 Oktober -- Atas dasar tanggungjawab dan cinta kepada negara, Associated Cyclosportif Trekkers (ACT) telah bekerjasama dengan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk menjayakan program Kayuhan 1000 Belia, sempena Hari Kesedaran Jenayah Peringkat Kebangsaan dan Hari Terbuka PDRM 2011.

Disertai 1038 peserta berbilang kaum, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran  dan kerjasama masyarakat terhadap tanggungjawab pencegahan jenayah, khususnya di kalangan para belia.

Para peserta dilepaskan pada jam 8 pagi oleh Timbalan Pengarah (II) Jabatan Siasatan Jenyah Komersial PDRM, Dato' Tajudin Bin Md. Isa . Mereka berkayuh dari Padang Merbok menuju ke Dataran Merdeka untuk sesi pembacaan lafaz ‘Ikrar Belia 1Malaysia’ di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pembacaan ikrar tersebut diketuai oleh Presiden ACT, Mohd Ariff Md. Isa, yang sebelum itu menyerahkan kapsul berisi momento ‘Ikrar Belia 1Malaysia’ kepada Timbalan Perdana Menteri.

Turut hadir adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Kayuhan kemudiannya diteruskan melalui beberapa destinasi di sekitar Kuala Lumpur untuk melengkapkan kayuhan sejauh 10 kilometer melalui Lebuhraya Mahameru dan kembali ke Dataran Merdeka.

Dalam ucapannya Muhyiddin berkata, polis memerlukan hubungan kukuh dengan masyarakat sebagai asas perkongsian pintar untuk membantu mengenal pasti jenayah dengan awal dan melaksanakan strategi terbaik untuk mengatasinya.

"Jelas sekali pencegahan jenayah bukan sahaja memerlukan kesedaran mengenai jenayah masyarakat, malah amat bergantung kepada kerjasama yang diterima pihak polis daripada masyarakat setempat," katanya lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar turut mengakui pengurangan jenayah yang direkodkan 2010 adalah hasil daripada kerjasama orang ramai yang tampil membantu pihak polis. Beliau menjangkakan, program seperti Kayuhan 1000 Belia bakal membawa kepada kerjasama yang lebih aktif dan intensif antara Polis dan masyarakat.

Dengan tema ‘1 Pasukan 1 Masyarakat Benteras Jenayah’, kerjasama antara PDRM dan belia adalah satu manifestasi keakraban dan penyatuan rakyat Malaysia, sekaligus melambangkan organisasi polis yang semakin mesra rakyat.

Program sebegini diharap dapat menjadi jambatan kepada orang ramai untuk memahami mandat yang digalas oleh organisasi polis, selain mendidik masyarakat  untuk menjiwai peranan setiap individu dalam mencapai objektif tersebut. Ia juga dapat memupuk budaya berani tampil dalam membantu pihak Polis menjalankan tugas, demi kesejahteraan negara.

PENGHARGAAN BUAT KOMUNITI BERBASIKAL

Pemilihan komuniti berbasikal oleh PDRM sebagai penggerak ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara yang selamat, aman dan sejahtera amatlah dihargai. Selain berjaya mewujudkan hubungan dan saling mengenali sesama peserta, ia juga sebagai titik permulaan untuk melahirkan satu barisan belia yang bakal menjadi benteng mempertahankan negara daripada ancaman anasir-anasir luar.



Selain penyertaan daripada ahli ACT, kayuhan ini turut mendapat penyertaan daripada 23 kelab-kelab basikal dari dalam dan luar Lembah Kelang, para individu, warga PDRM serta pihak-pihak lain.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PDRM dan Majlis Belia Malaysia yang memberi ruang kepada penganjuran Kayuhan 1000 Belia serta sahabat-sahabat ACT yang menyertai, seterusnya memastikan kejayaan program.

Ayuh kita sokong misi PDRM serta berganding bahu untuk memerangi jenayah di negara kita! ACT Together As One!

--ACT@2011

Add a comment
 


Page 1 of 6

Sharing is Caring

Gallery Folder